Diari Ramadan – Antara Juadah Kita dan Juadah Mereka

Bismillahirrohmanirrohim…

Minggu lepas baru balik dari outstation ke Miri, Limbang dan Kota Kinabalu sambil mengembara ke negeri orang di bulan Ramadan. Pengalaman di Miri pada satu hingga tiga ramadan memang menarik sehingga nak berbuka mencari air di pasar ramadan pun susah dan akhirnya minum di hotel selepas solat di masjid Miri. Memang seronok berada di bulan mulia ini. Di dalam keseronokan  ketika menjamu selera berbuka puasa, maka saya terbayang kemewahan di Malaysia bumi bertuah kita.

Apa tidaknya melihat bermacam-macam juadah berbuka puasa, antaranya : Ayam Tanduri, Ayam Masak Cili Api, Martabak , Roti Bom g, Agar-agar Cendol , Karipap, Pohpia Goreng, Pohpia Basah, Tepung Pelita, Tahu Sumbat, Mee Goreng, Meehon Goreng, Teh Tarik, Teh O, Air Tembikai, bebagai jenis buah-buahan. Ini semua mengingatkan kita kepada kehidupan mereka-mereka di sesetengah negara yang tidak semewah negara kita.

Pengalaman Di Pergunungan Pachitan, Jawa, Indonesia

Teringat pengalaman seorang rakan saya bercerita mengenai pengalamannya semasa keluar 40 hari di pergunungan Pachitan, Jawa  tahun 2004 yang lalu. Ianya adalah kawasan pengunungan tinggi sekitar 6,000 kaki dari paras laut. Tempatnya sejuk dan kalau petang hingga ke malam ianya bertambah sejuk.  Sesekali di waktu pagi awan putih akan bergerak dan masuk melalui tingkap masjid dan keluar di tingkap sebelah sana. Masjid itu kebetulan berada di tebing lereng gunung. Pemandangan cukup indah dengan sawah-sawah terbentang di lereng-lereng bukit dengan sesekali bunyi air mengalir di antara lurah-lurah di bahagian lereng bawah masjid. Sayup-sayup kedengaran suara anak-anak hilai ketawa mengikuti ‘mbah’ (Nenek) di permatang anak sungai membasuh kain. Di hujong atap, embun menitik serta kabut yang mengurangkan jarak pandangan. Paling seronok ketika ini adalah ‘tidur’. Di dalam kepanasan ‘sleeping bag’ aku berbaring dengan mata terpejam tapi masih tak mahu lelap. Ahli Jemaah yang lain dah ada yang berdengkur. Bunyi dengkuran kekadang menenggelamkan bunyi hilai tawa anak-anak di permatang. Antara lelap dengan tidak tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara orang memberi salam, “Salamualaikum Pak Ustaz ! yoh kita ziarah,”sambil hujung kaki aku ditarik sedikit. “Alaikumsalam” jawab aku sambil bingkas bangun tapi dalam hati tuhan yang tahu punya le malas aku nak ziarah. “ Ke mana kita ziarah pagi begini, pak?” tanya aku bersungguh-sungguh tapi kat dalam hati tidur lae sodap kata orang Nogori. “ Ngak jauh pak, hanya di sebelah sana”. Jawab kenalan orang tempatan tu. “Yah siap, ayoh kita” jawab aku sambil mencapai kain serban yang sememangnya aku buat sebagai ridak.

Kami meneruni bukit-bukit kecil serta mendaki beberapa lagi anak-anak bukit. Termengah-mengah aku, namun teman aku orang tempatan selamba je. Sesekali dia jauh meninggalkan aku.”Tunggu aku pak, macet aku,” sambil tercungap-cungap nafas aku memanggil teman aku itu. “Ah! Ngak jauh, hanya di sebalik bukit itu aja,” jelas temanku itu. Bila melihat ke tempat yang ditunjuk oleh temanku itu, dalam hati aku, “ Maak Ooi! Jauhnya”. Begitulah ragam orang Malaysia yang ke sana ke mari semuanya dengan kenderaan masing-masing, bila susah payah begini kekadang tak terdaya kita hadapinya.

Kami sampai di rumah berkenaan kira-kira hampir setengah jam perjalanan. Rumah-rumah di sana antara satu dengan yang lain agak jauh terpisah. Sambil melepaskan nafas, aku melihat sekeliling rumah berkenaan. Ianya terletak di lereng gunung seperti rumah-rumah yang lain. Keliling rumah hampir semuanya dipenuhi dengan pokok ubi kayu selain di bahagian bawahnya sawah berpetak-petak.Hanya satu dua pokok-pokok yang lain yang di tanam mencelah pokok ubi kayu. Bahagian hadapan laman ditanam dengan pokok-pokok kopi dan sedikit pokok timun yang telah pun ada sebiji dua buahnya. Di bahagian atas bumbung terdapat ubi kayu yang dijemur.

Temanku memberi salam lalu kami dijemput masuk. Tuan rumah begitu suka dengan kedatangan kami apalagi bila mendapat tahu orang Malaysia yang datang menjenguk teratak buruknya. Jemaah Malaysia memang tak ada yang sampai hanya dua jemaah iaitu jemaah kami dan satu jemaah sebelumnya namun mereka berusaha di kawasan kampong yang lain.

Rumah yang aku ziarah ini terlalu ‘simple’. Ianya berdindingkan buloh yang dianyam. Lantainya tanah. Tingkap-tingkapnya hanya ditutup di malam hari dengan guni padi yang lusuh. Kami duduk di atas bangku kayu tetapi sebenarnya hanyalah kayu lama yang dibuat sebagai bangku. Mereka menjamu aku dan temanku buah timun yang dipotong-potong kecil serta air kopi kampong yang ditumbuk di belakang rumah. Itulah juadah yang paling menyelerakan rasanya untuk tetamu. Aku menjamah dengan wajah kesukaan namun di dalam hati tersimpan kesedihan yang teramat. Betapa mereka dihimpit kemiskinan dengan makanan yang hanya sekadar menutup kelaparan. Aku bertanyakan apa tujuan ubi kayu yang dijemur di luar. Jawab tuan rumah ianya dibuat nasi. Ubi itu akan di tumbuk dan dimasak sebagai nasi. Itulah makanan harian mereka, hanya sesekali sahaja memakan nasi seperti kita. Padi yang ditanam di lereng bukit dan gunung itu untuk dijual.

Melihat keadaan begini ego dan sombong aku runtuh sehingga tidak sedar air mata mengalir di pipi tanpa disedari. Kita terlalu mewah dengan makanan dengan minuman dan dengan pakaian, kenderaan yang cantik-cantik. Bagi mereka hanya memikirkan persoalan apa yang nak dimakan walau pun hanya dengan nasi ubi kayu.

Pengalaman di Banglore, India.

Rakan saya yang sama juga bercerita pengalaman keluar 4 bulan pada tahun tahun 1992 . Ketika aku di masjid sedang melakukan amalan  selepas solat Isya’ seorang teman orang tempatan mengajak aku untuk keluar ziarah. Sebelun ini sudah beberapa kali dia datang mengajak aku namun aku dibawa oleh teman yang lain walau pun ia berkeras untuk membawa aku ziarah. Namun kali ini ketua jemaah membenarkan dan jelas tergambar keriangan di wajahnya. Aku pun tak tahu apa sebab yang ia minat sangat nak bawa aku ziarah. Kami pergi di satu kawasan menziarahi beberapa orang. Kawasan itu adalah kawasan penempatan orang-orang miskin. Kerja harian mereka membuat rokok Bidi (rokok dari daun yang dibalut). Bila melihat rumah-rumah mereka sudah tergambar kemiskinan hidup mereka. Rumah dari tanah liat, dinding sampai mencecah atap dari tanah liat. Syiling tidak ada manakala bumbungnya dari daun pokok seperti rumbia di tempat kita. Bahagian luar rumah bertampal-tampal tahi lembu yang dikeringkan untuk digunakan sebagai bahan bakar. Bila masuk ke rumah walau pun telah malam namun seisi keluarga masih membuat rokok bidi. Pendapatan harian hanyalah beberapa rupee yang sememangnya tidak mencukupi keperluan hidup. Apa yang mereka makan hanyalah Roti Nan yang agak keras dengan kuah berlaukkan kacang kuda. Itulah makanan mereka yang kadang-kadang tidak mencukupi seisi keluarnga.

Sekali lagi ego dan sombong aku runtuh melihat kemiskinan mereka. Apabila sampai waktu yang sesuai, aku mengajak teman aku pulang ke masjid. Sambil memboceng skuternya ia membawa aku kesatu tempat bukan ke masjid. Bila aku bertanya ke mana nak ditujui. Jawabnya seperti biasa orang-orang India sebut, “ Eak minit bhai sahab ! Eak minit bhai sahab! Mere ghar ko jao.” Jawabnya. Rupanya dia nak ajak aku ke rumahnya. Sesampai aku di rumahnya ia memberi salam pada isterinya dan aku menunggu beberapa minit di luar. Bila semua sudah siap agaknya aku di jemput masuk. Rupanya dia menyediakan aku ikan goreng berempah. Ikan goreng itu aku ratah begitu sahaja sambil dia memerhatikan aku makan. Ikan tu ikan sungai, Banglore adalah satu bandar yang jauh dari laut. Jadi mungkin sebab dia mendapat tahu yang orang Malaysia suka makan ikan maka dia menyediakan ikan goreng tersebut pada aku. Ikan goreng tu aku ratah dengan minuman air kosong. Sebenarnya ikan itu aku tak lalu pun sebab baunya, maklumlah ikan sungai namun aku makan juga beberapa keping. Mungkin inilah sebabnya yang ia beria-ia mengajak aku ziarah. Wajahnya begitu suka melihat aku makan sambil bersungguh-sungguh menyuruh aku menghabiskan baki ikan yang masih ada. Namun aku faham, ikan itu jangan dihabiskan kerana selepas kita berlalu pergi sisa makanan kita itu akan di habiskan oleh isteri dan anak-anak mereka. Mereka memahami nilai tetamu.

Nasihat untuk diri :

Saudara saudari semua, di dalam kita menjamu selera yang berbagai-bagai ketika berbuka puasa sedarilah kita bahawa ada mereka-mereka di luar sana yang kekurangan makanan. Yang dihimpit kemiskinan berpanjangan. Ingatlah kepada mereka yang kekurangan khususnya asnaf yang lapan di akhir Ramadhon dan awal Syawal nanti. Untuk itu bayarlah fitrah dengan satu perasaan dalaman akan nikmat Allah ke atas kita.

One response to “Diari Ramadan – Antara Juadah Kita dan Juadah Mereka

  1. syukur alhamdulilah tgl di bumi mesia ni………….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s