Sejarah Pulau Besar Melaka

 

Pulau Besar mempunyai keluasan kira-kira 168 hektar, merupakan pulau yang terbesar sekali di negeri Melaka. Terletak kira-kira 15 km dari Bandar Melaka serta dihubungkan melalui pengangkutan air. Terdapat kemudahan feri disediakan diantara Tanah Besar iaitu di Jeti Anjung Batu, Umbai dan juga kemudahan bot yang boleh disewa di Jeti Umbai, Melaka

Pulau ini juga dipercayai mempunyai pelbagai cerita misteri serta lagenda Di pulau ini juga bersemadi beberapa Wali Allah semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi antaranya ialah Makam As-Saiyid Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a, Makam Syeikh Yusuf As-Sidiq, Makam Saiyid Ibrahim r.a, Makam Siti Sarah (juga dikenali sebagai Makam Syarifah Rodziah) serta Makam Tujuh Beradik. Terdapat juga beberapa makam yang lain antaranya Makam Nenek Kebayan, Makam Tok Janggut, Makam Seribu dan Makam Nisan Satu.

Di pulau ini juga terdapat kawasan-kawasan misteri yang masih belum terjawab rahsia disebaliknya seperti Pokok Disula, Perigi Kaki Pulau, Istana dan Tasik Bunian, Batu Belah, Batu Tengkorak, Gua Yunus dan pelbagai tempat yang lain.

SEJARAH AWAL PULAU BESAR

Pada awal pembukaannya, Pulau Besar didiami oleh orang selat / orang laut sebelum kedatangan Parameswara sekitar tahun 1400. Semasa zaman pemerintahan Kesultanan Melaka, Pulau Besar telah berfungsi sebagai tempat persinggahan pedagang-pedagang untuk mendapatkan makanan, kayu api dan air bersih dan juga menunggu giliran untuk berlabuh di pelabuhan Melaka.

Pulau Besar juga dikenali dengan nama Pulau Air dan “Wu Shu” oleh pedagang China, menjadi tumpuan kapal-kapal pedagang ini sebelum wujudnya Melaka sebagai pusat pemerintahan. Kapal-kapal dagang berhenti di sini untuk mendapatkan bekalan air dan kayu api sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi yang ditujui.

Menurut Ma Huan, seorang pembantu Laksamana Cheng Ho, pelaut-pelaut China akan melawat ‘Wu Shu’ dan berlabuh dan berehat serta mendapatkan bekalan. Masyarakat nelayan selat yang menetap di muara Sungai Melaka membawa ikan kering dan lain-lain barang dagangan untuk ditukar dengan keperluan mereka.

Pulau Besar juga menjadi pusat tumpuan di seluruh Kepulauan Melayu kerana didiami oleh ramai ulama’ yang berperanan mengembangkan Agama Islam suatu masa dahulu. Pulau Besar juga dicatatkan menjadi pusat melancarkan serangan bagi orang-orang Melayu yang berusaha merampas semula Melaka dari Portugis setelah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka.

AS-SAIYID SULTAN AL-ARIFIN SYEIKH ISMAIL (R.A)

Nama sebenar ialah Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail Ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar (r.a). Beliau adalah keturunan yang ke 18 Rasullullah (S.A.W). Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a dilahirkan pada 17 Rabiulawal tahun 867H bersamaan 1463M di Baghdad. Bapanya bernama As-Saiyid As-Syeikh Abdul Qadir serta ibunya bernama Sayyidah Fatimah. Moyang beliau Sultan Al-Awliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, seorang Wali Allah yang sangat termashyur di seluruh dunia. Beliau juga dikenali sebagai Wali Lanang di Kepulauan Melayu.
Menurut riwayat sewaktu beliau ke Madinah menziarahi Makam Nabi, beliau telah mendengar satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ajaran Islam ke Kepulauan Jawa. Beliau kemudiannya mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama 16 orang sahabat pada tahun 1495M (900H) antaranya guru beliau Syeikh Yusuf As-Sidiq serta saudaranya Saiyid Ibrahim (r.a). Di Pulau Besar ajaran Islam berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai di seluruh Kepulauan Melayu termasuk India, Samudera Pasai, Champa, Kelantan dan di seluruh Kepulauan Melayu. Antara murid beliau yang sangat masyhur ialah Raden Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang) serta Raden Paku (Sunan Giri).

Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail (r.a) meninggal dunia pada 17 Rabiulawal tahun 925H ketika berusia 58 tahun serta dikebumikan di sini. Makam ini juga menjadi tumpuan utama pengunjung di Pulau Besar bagi menghargai jasa dan sumbangan besar Allahyarham ketika mengembangkan agama Islam di seluruh Kepulauan Melayu suatu ketika dahulu.

MAKAM AL-MURSYID SYEIKH YUSUF AS-SIDIQ

Syeikh Yusuf As-Sidiq merupakan seorang Syeikh Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadith nabi Muhammad SAW. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran beliau namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail (r.a) menyebarkan agama Islam di Kepulauan Melayu pada tahun 1495.

Beliau merupakan guru kepada Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail (r.a). Diriwayatkan sepanjang hidupnya beliau hanya berpuasa semenjak berumur 9 tahun sehinggalah beliau meninggal dunia pada usia 73 tahun.

MAKAM SAIYID IBRAHIM (R.A)

Nama sebenar ialah Saiyid Ibrahim Ibn Ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar (r.a). Merupakan abang kepada Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail (r.a). Isteri beliau bernama Siti Sarah, puteri kepada Syeikh Yusuf As-Sidiq.

Saiyid Ibrahim (r.a) sangat cintakan Islam serta menghabiskan seluruh hayatnya bagi mengembangkan ajaran Islam di seluruh Kepulauan Melayu bersama abangnya.

MAKAM SYARIFAH RODZIAH

Makam ini juga dikenali sebagai Makam Siti Sarah, isteri kepada Saiyid Ibrahim (r.a). Nama sebenar beliau ialah Siti Sarah ibn Syeikh Yusuf As-Sidiq. Merupakan seorang wanita yang sangat taat kepada agama Islam. Disebabkan kecintaan yang sangat mendalam kepada Islam, beliau turut bersama bapanya serta Sultanul Arifeen Assyaikhul As Syed Ismail (r.a) didalam mengembangkan ajaran Islam di Kepulauan Melayu.

Ketika hidupnya juga beliau disifatkan seorang yang zuhud sertatinggi ilmunya. Dikatakan Siti Sarah sering mengikuti majlis ilmu bersama bapanya. Ada ketikanya ketika Syeikh Yusuf As-Sidiq terlupa sesuatu permasalahan, Siti Sarah bersuara menegur serta memperingatkan perkara yang terlupa oleh bapanya.

Beberapa percubaan untuk membina bangunan di makam ini telah dilakukan namun kesudahannya musnah dipikul ribut. Dikatakan Siti Sarah tidak mahu binaan di makamnya seperti mana ketika hayatnya dahulu yang tidak berumah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s